Ketuk Buang Penyakit Di Kyrgyzstan

Kuala Lumpur: Mereka bukan sekadar membantu merawat pelbagai jenis penyakit menggunakan kaedah rawatan Islam, malah turut berdakwah bagi membimbing penduduk di Kyrgyzstan untuk kembali menjadi Muslim sejati.

Pengamal perubatan Islam dari Pusat Rawatan Islam Al-Manarah Abdul Rahman Abdullah berkata, teknik perubatan digunakan iaitu dengan ‘mengetuk’ tubuh pesakit menggunakan ranting kayu menarik perhatian ramai penduduk Islam di negara Asia Tengah itu.

Difahamkan, ada yang sanggup memandu sejauh 400 kilometer dari Issyk Kul ke Bishkek, ibu negara Kyrgyzstan, bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, sebahagian besar pesakit yang datang mendakwa mengalami kemurungan dan masalah kesihatan kronik lain seperti jantung serta kanser selain terkena sihir.

“Sukar untuk menggambarkan kepuasan bila melihat raut wajah pesakit yang ceria dan lega selepas dirawat, namun apa yang lebih menggembirakan kami membantu meningkatkan keyakinan serta keimanan mereka terhadap ALLAH swt.

“Majoriti pesakit bertambah yakin dengan kekuasaan ALLAH bersemangat untuk menunaikan ibadat.

Perlu ingat meskipun majoriti rakyat Kyrgyzstan adalah Muslim namun mereka tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar kerana kekangan dan larangan dikuatkuasakan ketika di bawah pentadbiran Kesatuan Soviet.

“Mereka mengaku hanya solat sekali-sekala, ada juga yang langsung tidak pernah tunaikan ibadat itu mahu pun berpuasa. Berikutan kurang ilmu, saya difahamkan ada yang pergi menunaikan haji meskipun tidak melakukan ibadat lain,” katanya.

Paling menggembirakan Abdul Rahman apabila seorang pesakit beragama Kristian yang dirawat memeluk Islam kerana kagum dengan kekuasaan Allah yang ditunjukkan menerusi kaedah perubatan Islam digunakan.

“Syukur individu berkenaan diberikan hidayah oleh Allah, mungkin dia sebenarnya berasa selesa dan yakin Islam adalah yang terbaik untuk dijadikan panduan dalam hidup.

Ramai dalam kalangan masyarakat Islam di Kyrgyzstan masih tercari-cari apa itu erti Islam dan Muslim yang sebenar, jadi saya mahu gunakan kemahiran rawatan dimiliki untuk bantu mereka, ini adalah dakwah saya ke jalan ALLAH,” katanya yang sudah sembilan kali ke negara itu sejak 2015.

Menurutnya, kekangan menyebarkan dan mengamalkan Islam ketika era pemerintahan Kesatuan Soviet menyebabkan Muslim di Kyrgyzstan ketinggalan dalam hal ibadat.

“Berikutan itu, ramai yang percaya kepada tangkal atau popular dengan panggilan tumar dalam kalangan penduduk tempatan yang kononnya mampu memberikan perlindungan kepada diri dan keluarga.

“Selain itu, tumar dianggap sebagai lambang atau simbol bahawa mereka seorang Muslim meskipun pada hakikat ia tidak betul. Tumar ada pelbagai jenis namun pada kebiasaan ia menggunakan ayat al-Quran. ketukbdn02.jpg_1526772809

“Ada yang terbabit dalam aktiviti pemujaan, tidak kurang pula percaya kononnya bercakap dengan air selepas mengalami mimpi buruk boleh mengelakkan bala,” katanya.

Menurutnya, selain datang semula untuk mendapatkan rawatan susulan, ada pesakit menghampirinya dan rakan-rakannya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.

Sementara itu, wakil Pusat Rawatan Islam Al-Manarah Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar berkata, teknik ketukan atau pukulan digunakan adalah mengikut kepada perlakuan Nabi Muhammad saw ketika merawat seorang sahabat yang mengalami gangguan jin.

Beliau berkata, ketukan atau pukulan tidak semestinya menggunakan ranting tetapi objek lain seperti plastik, penyangkut baju dan tangan.

“Sebenarnya ada hikmah di sebalik hukuman 100 kali rotan kepada pelaku zina dan kami mengambil contoh itu bagi melakukan rawatan

Mungkin selepas dirotan, jin atau syaitan menghasut pelaku terbabit hingga melakukan dosa besar akan keluar dari tubuh mereka.

Banyak lagi hikmah hukuman itu yang kita tidak tahu. Begitu juga rahsia Allah di sebalik hukuman rejam yang sudah ditetapkan,” katanya. -Harian Metro-

Advertisements

Be the first to comment