KJ Harap UMNO Tidak Diharamkan

BAGAN SERAI – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berharap pembekuan akaun ibu pejabat UMNO dan beberapa negeri bukan satu tindakan untuk mengharamkan parti tersebut.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sekiranya dipilih sebagai Presiden UMNO, beliau akan berusaha untuk mempertahankan aset, akaun dan UMNO daripada diharamkan.

Jelasnya, tindakan membekukan akaun UMNO itu juga menyukarkan parti tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran.

“Sekiranya perlu mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan kerajaan, saya akan tampil untuk memastikan bahawa UMNO tidak terlibat.

“Jika ada sumbangan daripada akaun tertentu kepada UMNO, saya berharap mereka dapat memberikan perincian kepada kita. Sekiranya ada sumbangan daripada pihak yang disiasat kepada UMNO,  mereka perlu memberikan perincian kerana ia menjejaskan UMNO secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama KJ di Bukit Merah Laketown Resort di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan ADUN Selinsing, Mohamad Nor Dawoo.

Dengan situasi yang melanda parti itu ketika ini, Khairy turut menegaskan, beliau akan memastikan bahawa pihaknya dapat melindungi UMNO daripada sebarang tindakan untuk diharamkan sekiranya beliau dipilih sebagai presiden parti itu Sabtu ini.

“Sekiranya siasatan dibuat, jangan ada apa-apa usaha untuk mengharamkan UMNO. Ia perlu mengikut proses undang-undang dan saya akan pastikan parti ini tidak diharamkan dan harta tidak dirampas,” katanya. – K! ONLINE

Up ↑

%d bloggers like this: