Ku Li Dedah Surat Khas

KUALA LUMPUR – Calon Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan, beliau pernah menulis surat khas kepada semua ahli parlimen pada 2014, berhubung kebimbangan beliau mengenai isu ekonomi rakyat, rasuah dan lain-lain isu membabitkan kepentingan negara.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau sudah dapat meneka sejak awal lagi negara bakal berhadapan dengan masalah sekiranya isu-isu kepentingan rakyat tidak dapat diatasi.

Namun katanya, respons yang beliau dapat daripada hantaran surat itu, tidak cukup baik kerana ‘tiada seorang pun ahli parlimen memberi maklum balas’.

“Ada! saya ada tegur pemimpin, ada secara lisan, ada setengahnya saya tak dapat tegur secara lisan saya tulis surat bahkan kepada semua ahli-ahli parlimen saya tulis surat…buat pertama kali ahli parlimen di Malaysia ini menulis surat kepada setiap ahli parlimen bahkan termasuk menteri-menteri dan speaker dan sebagainya.

Saya timbulkan perihal soal kenaikan kos hidup rakyat, dengan pelbagai masalah menimpa mereka soal skandal berbangkit dan bakal berbangkit dengan lebih besar lagi, itu semua saya tulis dalam surat.

Surat itu diedar kepada setiap ahli parlimen, sama ada dalam parti pemerintah dan pembangkang, semua orang dapat, tiada seorang respons, cuba ada seorang cakap sebagai teguran surat itu ketika bahas dasar yang dibentang oleh kerajaan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, di kediamannya, hari ini.

Justeru tegasnya, tidak timbul isu beliau tidak pernah memberi teguran kepada pemimpin dalam isu membabitkan rakyat.

“Saya telah ambil inisiatif, tiada respons secara langsung saya terima. Mereka semua boleh membaca dan menulis tidak munasabah apa yang saya tulis mereka tak faham.

Mereka sudah tahu, kandungan awal surat saya saya sudah timbulkan kemungkinan isu-isu akan berbangkit dan meletup dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Surat yang bertarikh 30 Oktober 2014 itu yang sudah dibaca Sinar Harian antaranya menyatakan perspektif ekonomi negara ketika itu menunjukkan bahawa negara kita menuju ke arah yang salah.

Selain itu, ia turut menyatakan sebahagian besar defisit kerajaan dan jumlah hutang negara terlalu banyak yang menyusahkan pinjaman, seterusnya timbul melalui belanjawan pengendalian serta perbelanjaan cukai untuk menyokong penggunaan bagi mencapai pertumbuhan.

Dalam pada itu, surat itu turut menyatakan kenaikan kos sara hidup merupakan isu ekonomi paling mendesak ketika itu.

Selain kos perumahan yang semakin meningkat serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan menambahkan lagi tekanan terhadap kos sara hidup.

Dalam surat itu juga, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li turut menyatakan kebimbangannya akan hutang peribadi kekeluargaan yang ketika itu telah menjangkau paras mencemaskan.

Tengku Razaleigh dalam surat itu turut menyatakan rasuah menjadi punca penambahan kos sara hidup , oleh itu jelasnya beliau amat takut dengan ekonomi negara dan mengajak agar dilakukan reformasi ekonomi bersungguh-sungguh.

Surat berkenaan mengandungi 23 hebahan besar dan dikeluarkan sebanyak enam muka surat. -Sinar Harian

Up ↑

%d bloggers like this: