SEMASA

PLAZA LOW YATT DISERBU IMIGRERSEN
 
SERAMAI 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat wanita ditahan menerusi Op Niaga 2 di Plaza Low Yatt, Kuala Lumpur, hari ini. 
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Bahagian Kawalan) Datuk Shahril Ismail berkata, semua PATI ditahan hasil operasi bersepadu dilaksanakan pihaknya bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
 
Katanya, menerusi operasi itu, seramai 124 pegawai dan anggota dikerahkan bagi memeriksa premis perniagaan yang disyaki menggajikan pekerja asing.
 
“Hasil operasi sebanyak 85 premis perniagaan diperiksa dan hasilnya kami menahan 40 PATI membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Nigeria, Pakistan, Sudan, Papua Guinea dan Somalia.
 
“Mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil selepas didapati tidak memiliki permit kerja dan dokumen perjalanan sah,” katanya pada sidang media di Plaza Low Yatt, hari ini.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kawal Selia dan Penguatkuasaan SSM Nor Azimah Abdul Aziz berkata, pihaknya turut memeriksa 68 premis perniagaan di lokasi terbabit.
 
“Hasil pemeriksaan sebanyak 27 premis dikenakan notis selepas didapati tidak mempamerkan sijil perniagaan,” katanya. -MyMetro-
Advertisements

Be the first to comment